GAMBAR hiasan
BERNAMA

SONGKHLA: Seorang lelaki warga Malaysia maut selepas ditikam oleh seorang pengawal keselamatan dalam pergaduhan di Sadao, Songkhla, selatan Thailand awal pagi semalam.

Kejadian berlaku pukul 2 pagi (waktu tempatan) apabila lelaki berusia 46 tahun dari Pulau Pinang itu bergaduh dengan pengawal keselamatan di sebuah apartmen.

Penyiasat Polis Sadao, Kapten Pairote Wongtawin berkata, suspek berusia 46 tahun itu mendakwa mangsa cuba memasuki apartmen tanpa kad akses.

Katanya, mangsa dikatakan mengekori seorang wanita tempatan ke apartmen tersebut dan cuba masuk melalui pintu kaca.

“Suspek yang bertugas ketika itu memberitahu mangsa untuk berhenti. Bagaimanapun, pergaduhan kemudian berlaku, menyebabkan mangsa ditikam.

“Suspek mendakwa dia ditumbuk dahulu oleh mangsa yang memaksanya menikam lelaki itu di perut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sadao.

Suspek pula menunggu di tempat kejadian sebelum menyerah diri kepada polis.

Pairote menambah, suspek mungkin didakwa atas tuduhan membunuh dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Waris mangsa tiba semalam untuk urusan membawa balik mayatnya yang dijangka diterbangkan ke Pulau Pinang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 1:01 AM