TRAK yang terhumban ke dalam gaung. FOTO/AGENSI
AFP

MANILA: Seramai 15 mangsa, termasuk kanak-kanak terbunuh apabila trak yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung, di selatan Filipina hari ini.

Menurut polis, kenderaan terbabit membawa kira-kira 30 penumpang dari kawasan pantai sebelum hilang kawalan ketika berada di bandar T’boli.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari saksi, trak itu gagal dikawal akibat masalah brek.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata pegawai penyiasat polis T’boli, George Tabayan kepada AFP.

Antara mangsa yang terbunuh, termasuk kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga enam tahun, manakala sekurang-kurangnya 11 lagi mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital.

Polis berkata, mangsa dilaporkan menghadiri satu majlis yang diadakan di sebuah pantai di bandar berhampiran dan dalam perjalanan pulang, ketika kemalangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:10 PM