MANGSA dilaporkan berjaya mengapungkan diri selama sejam dan cuba berenang ke pantai tetapi gagal. FOTO hiasan

BALI: Seorang lelaki warga Malaysia dilaporkan mati lemas kelmarin selepas dihanyutkan ombak besar ketika bercuti di pantai Berlian di Pulau Nusa Penida di Bali.

Polis Nusa Penida dalam satu kenyataan berkata, mangsa dikenali sebagai Shahfulnizam Jamaludin berusia 40 tahun.

Mangsa dan isterinya dilaporkan melawat pantai itu pada tengah hari kelmarin.

Dia kemudiannya berenang sementara isterinya menunggu di tepi pantai.

“Tiba-tiba mangsa dihempas ombak besar dan dihanyutkan ke tengah laut,” kata kenyataan itu.

Shahfulnizam dilaporkan berjaya mengapungkan diri selama sejam dan cuba berenang ke pantai tetapi gagal akibat dihempas ombak besar beberapa kali.

Ketika penduduk tempatan tiba dan menyelamatkannya menggunakan kanu, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan mukanya sudah menjadi biru.

Kata polis, jenazah mangsa kini ditempatkan di Hospital Pratama Nusa Penida.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:41 AM