Agensi

NEW YORK: Seorang remaja ditikam mati selepas bergaduh dipercayai merebutkan teman wanita, namun kira-kira 80 pelajar yang menyaksikan kejadian langsung tidak membantu sebaliknya sibuk merakam termasuk untuk dimuat naik ke media sosial.

Khaseen Morris, 16, parah ditikam selepas diserang sekumpulan budak lelaki lain ketika berjalan pulang ke rumah bersama rakannya di Oceanside, New York, Isnin lalu, lapor Daily Mail.

Polis di daerah Nassau dikerahkan selepas pergaduhan besar tercetus membabitkan 10 pemuda di luar restoran piza pada jam 3.45 petang (waktu tempatan).

Rakaman mengejutkan menunjukkan Morris dilemparkan ke tanah sebelum kemudian dilihat berdarah di dada, dipercayai akibat ditikam.

Namun tidak seorangpun tampil membantu menghentikan pergaduhan itu sebaliknya jurucakap polis Leftenan Stephen Fitzpatrick berkata: “Mereka lebih sibuk merakam kejadian. Mereka merakam kematiannya, bukan membantunya.


RAKAMAN menunjukkan Morris dilemparkan ke tanah sebelum ditikam. - Agensi

“Saya tidak faham perkara ini. Perbuatan seperti ini tidak boleh berterusan. Kawan kamu sedang nazak dan kamu sekadar mengambil video. Amat menjijikkan.”

Sementara itu, detektif Vincent Garcia berkata, tiada tangkapan dibuat, tetapi beberapa klip video kemudian dimuat naik ke Snapchat.

“Walaupun mereka lebih sibuk merakam dan bukannya membantu mangsa, sekurang-kurangnya kami kini mempunyai beberapa suspek yang boleh diburu,” katanya.

Sementara itu, kakak Morris yang enggan dinamakan berkata, adiknya baru berpindah ke sekolah itu untuk memulakan hidup baru.

Dia mendakwa adiknya ditikam semata-mata kerana meneman seorang gadis pulang dari sebuah majlis pada Ahad lalu.

“Dia sangat baik dan penyayang, tidak patut mati sebegini. Gadis itu sengaja memberitahu bekas kekasihnya dia diiring pulang, kononnya untuk membuatkan lelaki itu cemburu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 8:18 AM