AFP

RIYADH: Pemberontak Houthi di Yaman mengancam menyerang puluhan sasaran di Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk bangunan pencakar langit di Dubai dan Abu Dhabi selepas Arab Saudi dan Amerika Syarikat mempertikaikan keupayaan kumpulan itu menyerang kemudahan minyak di Arab Saudi, minggu lalu.

“Kami mengumumkan ada puluhan sasaran di UAE, termasuk Abu Dhabi dan Dubai yang boleh diserang bila-bila masa.

“Jika anda mahukan keamanan dan keselamatan untuk kemudahan serta menara kaca yang tidak dapat menahan (serangan) dron, tinggalkan Yaman,” kata jurucakap Houthi, Brigediar Yahya Saree.

Beliau mendakwa dron milik Houthi mampu terbang sehingga 700 kilometer dan amat tepat terhadap sasaran.

Arab Saudi menegaskan tidak mungkin serangan terhadap telaga minyak dan loji penapis minggu lalu, datang dari arah utara dan tidak disangsikan ia ditaja Iran.


JURUCAKAP Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Kolonel Turki al-Malki menunjukkan serpihan dron dan peluru berpandu yang digunakan bagi menyerang kemudahan minyak negara itu, semalam. - AFP

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Kolonel Turki al-Malki, serangan itu menggunakan 18 dron dan tujuh peluru berpandu jarak sederhana buatan Iran.

Beliau berkata, jarak capaian peluru berpandu itu ialah 700 kilometer, bermakna ia tidak mungkin ditembak dari Yaman.

Pada sidang media itu, Turki turut menyiarkan rakaman video pengawasan menunjukkan dron datang dari arah utara. Iran dan Iraq berada di utara Arab Saudi manakala Yaman di selatan.

Turki bagaimanapun, tidak menamakan Iran secara langsung melancarkan serangan itu, sebaliknya berkata, ‘penjenayah’ sudah dikenal pasti.

Menurutnya, Iran berusaha menjadikan serangan itu kelihatan dari Yaman dan serangan skala besar seperti itu melebihi keupayaan Houthi.

Pemberontak Yaman yang diperangi Arab Saudi bersama UAE itu sebelum ini, melancarkan puluhan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Arab Saudi tetapi hanya menyebabkan kerosakan kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 8:27 AM