TAUFAN Tapah melanda Jepun menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan. FOTO: AFP
AFP

TOKYO: Ratusan penerbangan serantau terpaksa dibatalkan selepas taufan Tapah mendekati barat daya Jepun, hari ini, dengan membawa hujan lebat berserta angin kencang.

Taufan Tapah yang membawa angin berkelajuan sehingga 162 kilometer sejam, dijangka mendekati wilayah Nagasaki semalaman, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Ia kini dalam perjalanan ke laut yang memisahkan Jepun dan Semenanjung Korea sebelum bergerak ke utara Jepun pada hari Isnin dan dijangka berkurangan dan perlahan, kata agensi itu.

Menurut stesen siaran rasmi NHK, ribut berkenaan menyebabkan lebih 400 penerbangan domestik dibatalkan.

Sehingga setakat ini, taufan itu menyebabkan 21 orang cedera ringan, sebahagian besar di wilayah pulau Okinawa yang dilanda badai lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:46 PM