GAMBAR HIASAN
Agensi

JAKARTA: Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan dilihat semakin pekat dan memenuhi keseluruhan langit di wilayah Kota Pekanbaru, Riau.

Bencana berkenaan membuatkan ramai penduduk mengambil keputusan untuk berpindah ke luar daerah disebabkan udara di kawasan itu memasuki kategori bahaya, lapor Kompas.com.

Salah seorang penduduk di Kecamatan Rumbai, Peti, 39, yang ditemui di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II berkata: “Saya akan berpindah ke Jakarta kerana jerebu makin buruk di sini malah cuti sekolah diteruskan sehingga 30 September ini.

“Tidak pasti sampai bila kami akan berada di Jakarta tetapi apa yang penting kami sekeluarga dapat menghirup udara bersih di luar Pekanbaru.”

Susan, 52, dari Kecamatan Marpoyan Damai turut bersedia meninggalkan Kota Pekanbaru yang diselaputi jerebu dan akan ke Palembang, Sumatera Selatan dengan pesawat Lion Air.

Menurut Susan, keluarganya memutuskan untuk meninggalkan Kota Pekanbaru buat sementara waktu selepas mereka sekeluarga ditimpa batuk berpanjangan dan sesak nafas.

Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa terpaksa menunda penerbangan disebabkan jerebu tebal sehingga menghalang pandangan.

Kualiti udara di wilayah Kota Pekanbaru mencatatkan peringkat bahaya sehingga ramai penduduk mengalami masalah kesihatan membabitkan sesak nafas, batuk, pedih mata, pening dan kerap muntah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:01 PM