RAKAMAN video yang tular menunjukkan ratusan lelaki yang ditutup mata, digari dikumpulkan di stesen kereta api. - Agensi
Agensi

SYDNEY: Satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan ratusan lelaki yang ditutup mata digari kaki dengan kepala dibotakkan, dipercayai penduduk Islam etnik Uighur di China dikumpulkan dekat stesen kereta api untuk dibawa ke kem tahanan.

Menurut news.com.au, rakaman video itu yang tiada pengesahan, disiarkan di YouTube minggu lalu, menggunakan akaun baru ‘War on Fear’. Rakaman itu turut disiarkan di Twitter oleh @warcombatfear.

“Tujuan kami memerangi ketakutan.

“Masyarakat sekarang hidup di bawah pengawasan teknologi kerajaan. Orang ramai hilang kebebasan. Pemimpin Parti Komunis China mendakwa mereka patriotik dan sayangkan rakyat, namun hakikatnya mereka hanya sayangkan parti dan kuasa.

“Video ini dirakam di China. Ini adalah penindasan yang sudah sekian lama terhadap hak asasi manusia dan asas kebebasan oleh kerajaan China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur,” kata keterangan mengenai video itu.

Sumber agensi keselamatan Eropah memberitahu Sky News, mereka percaya rakaman itu asli yang mungkin dihasilkan awal tahun ini.

“Kami sudah meneliti video itu dan percaya ia asli, kejadian itu benar-benar berlaku.

”Ia menunjukkan 600 tahanan sedang dipindahkan, dirantai antara satu sama lain, kepala dibotakkan dan ditutup mata dengan tangan diikat.

“Itu adalah kaedah China memindahkan tahanan,” kata sumber berkenaan.

Menteri Luar Australia, Marise Payne, berkata: “Saya tahu mengenai video yang mengejutkan itu disiarkan di Internet.

“Saya sebelum ini, sudah membangkitkan isu mengenai laporan penahanan beramai-ramai etnik Uighur dan orang Islam di Xinjiang.

“Kami sering mendesak China menghentikan penahanan etnik Uighur serta orang Islam,” katanya.

Penyelidik dengan Institut Antarabangsa Pusat Dasar Siber Australia, Nathan Ruser, yang menganalisis data satelit bagi pemetaan kem tahanan China, percaya video itu tulen.

Beliau mengenalpasti lokasi kejadian ialah di Bayingol, Xinjiang, namun percaya video itu dirakam pada 20 Ogos tahun lalu.

Julai lalu, Australia antara 22 negara yang menandatangani surat kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkritik layanan Beijing terhadap etnik Uighur dan mendesak kerajaan China menghentikan penahanan beramai-ramai itu.

China menafikan wujudnya kem tahanan sebaliknya menegaskan ia adalah pusat memberi latihan vokasional kepada etnik Uighur dan penduduk Islam namun bekas tahanan mendakwa mereka diseksa dan dipaksa meninggalkan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:00 AM