ANTARA haiwan yang hadir pengebumian Garfield. -Foto Agensi
Agensi

LONDON: Ratusan haiwan peliharaan bersama pemilik menghadiri majlis pengebumian kucing selebriti Garfield di gereja besar Ely, Cambridgeshire, baru-baru ini.

Garfield yang mencapai populariti di media sosial kerana sering melepak di pasar raya Sainsbury maut dirempuh kereta di tempat parkir premis itu pada Julai lalu.

Menurut BBC, kira-kira 450 orang terdiri daripada pencinta haiwan dan pemilik haiwan menghadiri majlis memperingati Garfield.

Antara haiwan peliharaan yang dilihat pada majlis itu adalah anjing, kucing, tikus guinea, ferret, burung dan seekor keldai.

Garfield menghabiskan masanya bersantai di atas sofa lobi pasaraya itu dan ia disayangi pengunjung.

Kucing itu mempunyai lebih 7,000 peminat yang sering mengikuti perkembangannya di Facebook.

Penulis Cate Caruth yang menghasilkan buku mengenai Garfield berkata, majlis itu juga bagi individu yang kehilangan haiwan kesayangan.

Pemilik Garfield menubuhkan laman di media sosial untuk mengutip dana dan berjaya mengumpul hampir £2,000 (RM10,394) yang diserahkan kepada pusat perlindungan Cats Protection.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 1:34 AM