X
POLIS Indonesia bersiap sedia hadapi rusuhan.
POLIS Indonesia bersiap sedia hadapi rusuhan.
AFP

WAMENA (INDONESIA): Angka kematian dalam rusuhan terbaru di wilayah Papua meningkat kepada 26 orang hari ini manakala ribuan orang melarikan diri selepas beberapa orang dibakar hidup-hidup oleh perusuh ketika terperangkap dalam bangunan.

AFP melaporkan, wilayah itu dibelenggu dengan rusuhan ganas sejak beberapa minggu lalu yang dipercayai berpunca daripada serangan perkauman.

Seramai 22 daripada mangsa dilaporkan mati di bandar Wamena manakala beratus penunjuk perasaan membakar pejabat kerajaan serta beberapa bangunan semalam.

Menurut pihak berkuasa, sebahagian mangsa maut dalam kebakaran dicetuskan oleh perusuh sekali gus menyebabkan bilangan mangsa meningkat berbanding 20 orang dilaporkan sebelum semalam dan lebih 70 orang cedera.

Sehingga kini seramai 700 orang ditahan untuk disoal siasat susulan kejadian yang meragut nyawa itu.

“Ada di antara mangsa dibakar, ditetak mati dan terperangkap dalam kebakaran. Kami akan memeriksa beberapa kedai dan gerai dibakar yang mungkin terdapat mangsa lagi,” kata komander tentera tempatan, Chandra Dianto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 2:10 PM