MANGSA berhenti di satu lokasi untuk membuang air besar sebelum diserang dua lelaki dengan kayu. GAMBAR hiasan
AFP

NEW DELHI: Dua kanak-kanak dibelasah sampai mati di Madhya Pradesh hanya kerana membuang air besar di tempat terbuka, semalam.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah datuk mereka di daerah Shivpuri pada awal pagi.

Ketua Polis Raja Babu Singh ketika dihubungi AFP berkata, mangsa berhenti di satu lokasi untuk membuang air besar sebelum diserang dua lelaki dengan kayu.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital, namun meninggal dunia akibat cedera parah,” katanya.

Singh berkata, polis sudah menahan dua adik beradik lelaki dan salah seorang suspek didapati mengalami gangguan mental.

Bapa salah seorang mangsa, Manoj Balmiki memberitahu agensi berita Press Trust of India, rumahnya tidak mempunyai tandas menyebabkan dua kanak-kanak itu terpaksa membuang air besar di luar.

“Suspek menjerit kerana mereka buang air besar di atas jalan.

“Dua lelaki itu kemudian memukul kepala kanak-kanak terbabit dengan kayu, menyebabkan mereka maut,” katanya.

Kejadian itu berlaku selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan kempen melarang membuang air besar di tempat terbuka pada Rabu lalu.

Modi yang melancarkan Misi India Bersih pada 2014 berjanji untuk menyediakan kemudahan tandas untuk rakyatnya menjelang tahun ini.

Terdahulu, satu stesen televisyen meminta penonton menghantar gambar individu ketika membuang air besar di tempat terbuka untuk disiarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 7:01 PM