NAYIB Bukele
NAYIB Bukele
Reuters

NEW YORK: “Sebentar, kita berswafoto dulu,” itulah kata-kata Presiden El Salvador, Nayib Bukele sebelum berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam.

Selepas naik ke pentas untuk berucap, presiden berusia 38 tahun itu yang memenangi pilihan raya pada Jun lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dan merakamkan gambar swafoto.

“Percaya cakap saya, lebih ramai akan melihat gambar swafoto ini daripada mendengar ucapan saya,” katanya.

Dalam ucapan sulungnya di PBB, Bukele menyentuh beberapa isu utama dunia dan menyeru badan dunia itu berubah mengikut masa serta meminta pemimpin negara memahami kehendak golongan muda.

Selepas ucapannya itu, Bukele memuat naik gambarnya di Twitter di mana ia mendapat lebih 7,000 ‘like’ dalam tempoh kurang sejam.

Bekas datuk bandar San Salvador memenangi pilihan raya umum selepas menguasai media sosial termasuk berkempen di Facebook Live yang gagal dikuasai lawannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:09 AM