SEORANG penduduk menunjukkan seekor kangaru dan anaknya yang ditemui mati dilanggar. FOTO Agensi
SEORANG penduduk menunjukkan seekor kangaru dan anaknya yang ditemui mati dilanggar. FOTO Agensi
Agensi

SYDNEY: Seorang remaja 19 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan sengaja melanggar dan membunuh 20 kangaru dengan keretanya dalam satu malam di New South Wales, Sabtu lalu.

Polis New South Wales menyiasat kematian 20 kangaru serta beberapa lagi haiwan itu yang ditemui cedera dipercayai akibat dilanggar kereta di Tura Beach.

Penduduk di kawasan itu terkejut apabila menemui bangkai kangaru, termasuk yang membawa anak bergelimpangan di hadapan rumah mereka pada waktu pagi.

Metro.co.uk melaporkan, polis kemudian menahan remaja terbabit dan mendakwanya atas tuduhan menyeksa, memukul serta menyebabkan kematian haiwan.

Jurucakap polis, Peter Volf berkata, pihaknya mengambil serius kejadian itu dan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas.

Seorang penduduk, Rob Court memberitahu ABC, apabila keluar dari rumah pagi Ahad lalu, dia terkejut melihat lima bangkai kangaru di atas jalan hadapan rumahnya.

“Polis juga terpaksa membunuh beberapa kangaru yang cedera parah tetapi beberapa anak haiwan itu berjaya diselamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 7:02 AM