GANNA
GANNA
Agensi

KAHERAH: Seorang budak perempuan berusia lima tahun mati selepas didera selama beberapa tahun oleh neneknya dan lebih malang lagi mangsa turut dirogol bapa saudaranya.

Akhbar El Watan melaporkan, Ganna Mohamed Samir Hafez dimasukkan ke Hospital Besar Sherbeen minggu lalu selepas bapanya menemui kesan kecederaan di tubuh mangsa selain kemaluannya mempunyai kesan melepuh.

Kaki Ganna turut menjadi gangren akibat kecederaan yang dialaminya sehingga terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawanya.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan wilayah Daqahliya memberitahu, Ganna tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di Hospital Antarabangsa di Mansoura.

Katanya, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada badan selain mengalami kegagalan jantung dan keracunan dalam darah.

Mangsa difahamkan tinggal bersama nenek dan kakaknya, Amani, 6, selepas wanita itu diberikan hak penjagaan susulan perceraian ibu bapa mereka.

Wanita itu dipercayai mendera Ganna dan Amani selama bertahun-tahun malah turut dicucuh dengan api dan diserang menggunakan senjata tajam.

Lebih malang lagi anak lelaki wanita itu turut mengambil kesempatan dengan merogol mangsa.

Suspek kini ditahan polis atas tuduhan melakukan penderaan namun dia menafikan tuduhan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 9:15 AM