SEORANG pelancong China diusir dari Taiwan kerana merosakkan ‘Tembok Lennon’. FOTO AFP
AFP

TAIPEI: Seorang pelancong China diusir dari Taiwan kerana merosakkan ‘Tembok Lennon’ yang diwujudkan untuk menyokong pergerakan prodemokrasi Hong Kong dalam tindakan dipercayai akan mencetuskan kemarahan Beijing.

Aktivis prodemokrasi Hong Kong mewujudkan ‘Tembok Lennon’ yang dipenuhi poster, slogan dan pelekat nota berwarna-warni di sekitar bandar itu, yang juga kini dilihat di Taiwan, terutama di kampus universiti.

Penduduk di Taiwan menunjukkan sokongan meluas terhadap protes yang menyelubungi Hong Kong sejak empat bulan lalu itu, tetapi penyokong Beijing menyasarkan perhimpunan dan sebarang struktur yang menyokongnya.

Pelancong China dikenal pasti sebagia Li Shaodong diusir pada lewat Selasa kerana ‘terbabit dalam aktiviti jenayah’ selepas dilihat mengoyakkan poster dilekatkan di sebuah Tembok Lennon di kampus universiti di Taipei sehari sebelumnya, kata Agensi Imigresen Kebangsaan.

“Kerajaan kami tidak akan menutup mata terhadap perbuatan menyalahi undang-undang yang menggugat demokrasi dan kebebasan dengan niat jahat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia kini dilarang melawat Taiwan selama lima tahun. Kejadian itu dipercayai yang pertama membabitkan pengusiran dari Taiwan dikaitkan protes di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 12:16 PM