Skip this ad x
RAKAMAN CCTV menunjukkan datuk bandar di Mexico diikat pada belakang trak sebelum diseret sepanjang jalan.
Agensi

MEXICO CITY: Seorang datuk bandar di Mexico diikat pada belakang trak sebelum diseret sepanjang jalan oleh sekumpulan penduduk yang berang apabila dia tidak menunaikan janji ketika berkempen.

Daily Mail melaporkan, Datuk Bandar Las Margaritas di negeri Chiapas, Jorge Luis Escandon Hernandez diculik oleh penduduk terbabit ketika berada di pejabatnya pada Selasa lalu.

Mereka sebelum itu meluru masuk pejabatnya mendesak dia menunaikan beberapa janji termasuk membaik pulih jalan raya.

Satu rakaman selama 17 saat itu menunjukkan dia diikat dan diseret pada belakang trak sebelum dihalang oleh kira-kira 40 anggota polis.

Manakala terdapat rakaman lain menunjukkan suasana kecoh ketika penduduk terbabit menculik mangsa sambil bersenjatakan kayu.

Sementara itu, Hernandez yang membuat ucapan lapan jam selepas serangan berkata, dia tidak gentar dengan tindakan itu dan membuat laporan atas kesalahan menculik dan cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 11:45 PM