KENDERAAN tentera Turki dilihat di bandar Akcakale sejak kelmarin. FOTO AFP
AFP

QAMISHLI, SYRIA: Pentadbiran Kurdish di utara Syria menyeru orang awam turut sama mempertahankan wilayah itu daripada serangan Turki yang dijangka bila-bila masa selepas Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya kelmarin.

“Kami mengumumkan tiga hari pergerakan besar-besaran di utara dan timur Syria” kata kenyataan yang mendesak orang ramai bergerak ke sempadan bagi menghadapi serangan Turki.

Ia juga mendesak semua etnik Kurdish di Syria dan luar negara membantah rancangan serangan Turki itu.

Semalam, Turki menyatakan ia akan memulakan serangan besar-besaran ke utara Syria selepas persiapan akhir selesai dan dilihat menghantar lebih banyak kenderaan berperisai ke sempadan.

Pentadbiran Kurdish menyatakan ia akan meletakkan tanggungjawab kepada Amerika dan sekutunya serta masyarakat antarabangsa terhadap sebarang bencana kemanusiaan akibat serangan Turki itu.

Tentera Kurdish mengalami kerugian besar dalam kempen disokong Amerika memerangi Daish di Syria.

Turki membantah sokongan Amerika terhadap Kurdish di Syria, terutama Pasukan Demokratik Syria (SDF) kerana Ankara menuduh ia ada kaitan dengan Pasti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan bersenjata di Turki sejak 1984.

Wakil AFP melihat sejumlah besar kenderaan tentera di bandar Akcakale sejak kelmarin, manakala SDF mendakwa tentera Turki sudah mula membedil kedudukan mereka di Sere Kaniye, utara Syria, lokasi tentera Amerika berundur kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 7:15 AM