RAKAMAN menunjukkan Thomas menumbuk Marisha. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Dua bekas kekasih yang juga anak kapal Republic Airways dipecat selepas rakaman tersebar menunjukkan mereka bergaduh termasuk bertumbuk dan meludah di dalam pesawat yang kosong.

Rakaman kamera keselamatan yang terbocor dan tersebar menunjukkan juruterbang, William Thomas, 36, meludah dan menumbuk rakan sekerja yang juga bekas teman wanitanya, Marisha Sporer, 29, dua kali.

Pasangan itu berpacaran sejak November tahun lalu dan difahamkan berpisah baru-baru ini, lapor Daily Mail.

Rakaman pendek itu yang diperoleh secara eksklusif oleh FlyerTalk diambil pada 14 September lalu, selepas pesawat Republic Airways mendarat di Lapangan Terbang Denver.

Thomas dan Marisha ditahan serta didakwa atas tuduhan melakukan serangan selain mengganggu ketenteraman, lapor ABC News. Mereka dijadualkan hadir di mahkamah minggu depan.

Menurut afidavit, kedua-duanya bersetuju untuk berpisah lalu Thomas menaiki pesawat menuju ke kokpit manakala Marisha pergi ke pintu pelepasan. Bagaimanapun, Marisha tiba-tiba berang dan naik ke pesawat itu untuk konfrontasi bersama Thomas.

“Marisha menarik tali leher Thomas dan menamparnya tiga kali seterusnya Thomas menumbuknya tiga kali di rusuk,” kata afidavit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 7:39 AM