SEDUTAN daripada serangan di sebuah kuil Yahudi yang membunuh dua orang di Halle, Jerman. -Foto Agensi
Agensi

SAN FRANCISCO: Serangan di sebuah kuil Yahudi yang membunuh dua orang di Halle, Jerman semalam disiarkan secara strim langsung selama 35 minit dan ditonton kira-kira 2,200 orang, kata pengendali media sosial, Twitch.

“Pemilik akaun ini menyiarkan tindakan kejam itu di Twitch selama 35 minit dan ketika itu ia ditonton kira-kira lima orang.

“Rakaman itu kemudiannya secara automatik dijana berdasarkan tetapan akaun dan ditonton kira-kira 2,200 orang sebelum ia dikesan serta dipadamkan,” kata Twitch Twitter.

Twitch adalah platform siaran strim langsung permainan video dan dimiliki oleh Amazon.

Dalam kejadian itu, dua terbunuh termasuk wanita akibat ditembak beberapa suspek di luar rumah ibadat Yahudi di Halle, timur Jerman.

Kejadian berlaku pada hari Yom Kippur, iaitu hari paling suci dalam agama Yahudi dengan penganutnya berpuasa selama lebih 24 jam.

Pengganas kulit putih yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac lalu dan membunuh 51 orang turut membuat strim langsung tindakan kejam berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:11 AM