X
SUSPEK berjaya menjejak kediaman Ena menerusi imbasan imej stesen kereta api pada matanya. - Agensi
SUSPEK berjaya menjejak kediaman Ena menerusi imbasan imej stesen kereta api pada matanya. - Agensi
Agensi

TOKYO: Seorang peminat fanatik berjaya menjejak tempat tinggal seorang penyanyi pop popular melalui biasan pada mata di gambar swafoto wanita itu di media sosial sebelum menyerang dan mencabul mangsa.

Hibiki Sato mengaku menyerang dan mencabul anggota kumpulan Tenshitsukinukeniyomi, Ena Matsuoka, 21, di apartmen mangsa di Tokyo pada bulan lalu.

SATO turut menggunakan aplikasi Google Street View untuk menjejak rumah Ena. - Agensi
SATO turut menggunakan aplikasi Google Street View untuk menjejak rumah Ena. - Agensi

Sato, 26, memberitahu, dia berjaya menjejaki kediaman Ena selepas mengkaji gambar swafoto wanita itu yang sering dimuat naik di media sosial.

Dengan membesarkan gambar untuk melihat imej imbasan pada mata dan dengan bantuan aplikasi Google Street View, Sato berjaya mengesan stesen kereta api yang sering digunakan Ena.

Dia juga mengkaji secara terperinci segala butiran gambar mangsa di rumah termasuk kedudukan langsir dan arah cahaya yang menembusi tingkap, bagi memastikan bangunan sebenar didiami penyanyi itu.

Pada 1 September lalu, Sato menunggu Ena di stesen terbabit dan mengekorinya hingga ke rumah.

Sato kemudian menghampiri dari belakang dan menutup mulut Ena dengan kain sebelum mengheret penyanyi itu ke satu sudut gelap.

Suspek yang ditahan Selasa lalu mengaku amat meminati Ena yang dilaporkan tidak cedera tetapi trauma dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, profesor Universiti Metropolitan Tokyo dan pakar dalam bidang hendap digital, Shuichiro Hoshi berkata, kualiti kamera telefon pintar yang semakin baik meletakkan pengguna media sosial dalam risiko.

“Risiko pengendap digital semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 8:58 AM