GAMBAR hiasan.
Agensi

RIYADH: Wanita Arab Saudi yang ingin menjadi askar wajib mematuhi syarat tertentu termasuk mempunyai ibu bapa warga tempatan, selain tidak berkahwin dengan rakyat asing.

Syarat itu antara yang ditetapkan kementerian pertahanan Arab Saudi, selain perlu berkelakuan baik, lulus dari segi kesihatan dan berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Menurut The Independent, syarat supaya wanita terbabit mempunyai suami warga tempatan dipercayai untuk tujuan keselamatan ‘disebabkan keadaan sensitif sektor berkenaan.’

Arab Saudi minggu lalu mengumumkan membenarkan wanita menyertai tentera sebagai prebet kelas pertama, koperal atau sarjan dalam langkah yang dianggap mampu lebih memperkasakan golongan berkenaan.

Tahun lalu, Arab Saudi membenarkan wanita menyertai pasukan penguatkuasaan termasuk antidadah, penjara dan siasatan jenayah, lapor Al Jazeera.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Riyadh memperkenalkan pelbagai perubahan sosial dan ekonomi terutama untuk wanita. Antaranya, kaum wanita kini dibenarkan memandu, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 2:45 PM