PENYELAMAT membawa mangsa taufan Hagibis di Nagano.
Reuters

NAGANO: Anggota penyelamat meranduk air berlumpur setinggi paras pinggang dalam usaha mencari mangsa yang hilang susulan taufan terburuk melanda Jepun sejak beberapa dekad lalu.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam taufan yang menyebabkan sebahagian besar timur serta tengah Jepun ditenggelami air, manakala 16 orang masih hilang dan 189 cedera, lapor badan penyiar awam NHK.

Puluhan ribu anggota penyelamat dan puluhan helikopter dikerahkan ke lokasi yang terjejas, kata pegawai.

Seorang penduduk di Nagano menggambarkan kawasan di sekitar kediamannya yang banjir tidak ubah seperti tasik.

Seorang lagi penduduk, Toshio Yonezawa berkata: “Keempat-empat ahli keluarga saya selamat, tetapi semua kereta dan mesin pertanian kami rosak.”

Lebih 110,000 anggota polis, askar dan pengawal pantai, selain 100 helikopter dikerahkan dalam operasi hari ini, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga.

Suga menggesa penduduk sentiasa berjaga-jaga menghadapi tanah runtuh atau limpahan sungai lanjut susulan ramalan bahawa hujan lebat mungkin turun di beberapa bahagian di timur dan tengah Jepun, di mana sudah sedia lembut disebabkan taufan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 2:55 PM