UNAMA tetap bantu proses pilihan raya presiden Afghanistan. FOTO: AFP
AFP

KABUL: Berpuluh-puluh orang mati dan ratusan lagi cedera dalam keganasan sepanjang musim pilihan raya presiden Afghanistan baru-baru ini, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) melaporkan, seramai 85 orang terbunuh dan 373 lagi cedera semasa pilihan raya yang bermula dari 8 Jun hingga 30 September lalu.

Pada hari pengundian sahaja, seramai 28 orang awam maut dan 249 lagi cedera. Satu pertiga daripada mangsa adalah kanak-kanak.

Keganasan sepanjang musim pilihan raya itu dipercayai didalangi kumpulan Taliban yang mahu mengganggu proses demokrasi berkenaan.

Walaupun mencatatkan angka korban tinggi, pihak berkuasa berkata, pilihan raya itu berjaya kerana Taliban gagal melancarkan serangan besar-besaran.

Majoriti serangan Taliban membabitkan penggunaan roket, bom tangan, mortar dan juga bom buatan sendiri yang diletakkan berhampiran pusat pengundian termasuk sekolah.

Pada pilihan raya parlimen tahun lalu, UNAMA melaporkan seramai 226 orang awam maut dan 781 lagi cedera.

Keputusan awal pilihan raya itu dijangka diketahui pada Sabtu ini tetapi pegawai memberitahu ia mungkin ditangguhkan beberapa hari lagi.

Pada pilihan raya kali ini, Presiden Ashraf Ghani dicabar oleh Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah.

Sekiranya tiada yang memperoleh lebih 50 peratus majoriti, pusingan kedua bakal diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:43 PM