MAHKAMAH di Klagenfurt mengarahkan bapa dan anaknya masing-masing dipenjara 24 serta 20 bulan.
AFP

VIENNA: Seorang warga emas dan anak lelakinya dipenjara kerana membekalkan ratusan senjata haram kepada keluarga mafia Camorra di Itali.

Mahkamah di Klagenfurt mengarahkan bapa berusia 74 tahun itu dan anaknya berumur 48 tahun masing-masing dipenjara 24 serta 20 bulan kerana membekalkan 820 pistol selain puluhan raifal Kalashnikov kepada kumpulan jenayah itu sejak 2011.

Pada awal perbicaraan, dua beranak itu menafikan tahu mereka berurusan dengan mafia, sebaliknya mendakwa pelanggan mereka adalah ‘penjual sayur.’

Pendakwa di Naples, Itali, mengumumkan pada Mac lalu bahawa negara itu dan Austria membongkarkan rangkaian pengedaran senjata api antarabangsa yang membekalkan Camorra dengan pistol termasuk ‘senjata peperangan’ untuk memulakan perang dengan keluarga mafia lain.

Siasatan Itali selama setahun itu membawa kepada penahanan 22 orang, termasuk dua beranak itu yang juga pembuat senjata serta beberapa penghantar barang Camorra.

Camorra adalah antara tiga kumpulan jenayah terancang utama Itali selain Cosa Nostra di Sicily serta ‘Ndrangheta di Calabria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:54 PM