GAMBAR hiasan

ADDIS ABABA: Beberapa anggota penyelamat terpaksa menggunakan mesin pengorek untuk mengeluarkan mayat selepas tanah runtuh melanda di selatan Ethiopia yang menghanyutkan rumah penduduk dan mengorbankan lebih 20 orang.

AFP yang memetik jurucakap kerajaan tempatan, Takele Tesfu berkata, kejadian itu berlaku di daerah terpencil di Konta pada Ahad lalu selepas dilanda hujan lebat berterusan selama 10 jam.

“Terdapat 22 orang maut dan kita hanya berjaya mengeluarkan 17 mangsa menggunakan tenaga manusia dan mesin.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengeluarkan mangsa yang lain dan usaha akan diteruskan,” katanya yang menjelaskan mangsa termasuk sembilan wanita dan enam kanak-kanak.

Katanya, musim hujan hampir tiba di penghujung namun pihak keselamatan bagaimanapun masih memindahkan sebahagian keluarga sebagai langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri hujan melanda dalam tempoh beberapa hari lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:11 AM