SAPPORO.
AFP

LAUSANNE: Acara maraton dan berjalan kaki di Olimpik Tokyo 2020 akan dipindahkan ke Sapporo yang suhunya jauh lebih rendah.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata langkah itu dipertimbangkan kerana suhu di Tokyo ketika sukan berkenaan mampu mencapai sehingga 30 darjah Celsius.

Suhu antara lima ke enam darjah Celsius lebih sejuk berbanding siang di sekitar 800 kilometer ke utara Sapporo.

Presiden IOC, Thomas Bach, berkata kesihatan dan kesejahteraan atlet sentiasa menjadi keutamaan.

“Cadangan untuk memindahkan acara maraton dan berjalan kaki menunjukkan betapa seriusnya kami dalam isu berkenaan.

“Sukan Olimpik adalah platform untuk atlet berikan sepenuhnya prestasi sekali seumur hidup dan langkah-langkah berkenaan memastikan atlet bersedia untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Rancangan untuk menukar lokasi acara masih belum digerakkan kerana ia memerlukan sokongan semua pihak berkepentingan, terutamanya tuan rumah Tokyo, jawatankuasa Olimpik kebangsaan dan pihak penyiaran berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:02 PM