JIA kembali semula ke China. FOTO/AGENSI
Mail Online

New York:Seorang ‘bilionaire’ China, Jia Yueting memfailkan bankrap di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal membayar hutang lebih AS$5 bilion (RM21 bilion).

Jia, 46, adalah pengasas syarikat kereta elektrik Faraday Future dan perkhidmatan siaran langsung, LeEco.

Ahli perniagaan memberitahu, dia sudah membayar hutang sebanyak AS$3 bilion (RM12.6 bilion) tetapi masih ada tunggakan AS$2 bilion (RM8.4 bilion).

Syarikat itu dalam satu kenyataan memberitahu, Jia memfailkan bankrap pada Ahad lalu dan bakal memasuki pelan penstrukturan semula hutang.

Jia juga dilaporkan mempunyai hutang peribadi berjumlah AS$3.6 bilion (RM15.1 bilion).

Pelan penstrukturan membolehkan Jia mengurangkan dan berunding semula akaun Faraday supaya syarikat itu boleh terus beroperasi.

Bagaimanapun, semua aset peribadi dan saham Jia dalam syarikat itu dipindahkan ke akaun pemegang amanah.

Faraday mahu bersaing dengan pembuat kereta elektrik tanpa pemandu, Tesla tetapi sasaran syarikat itu untuk mengeluarkan kenderaan pertama pada Disember tahun lalu gagal.

Jia dilaporkan mahu kembali semula ke China untuk mencari peluang baru dan berharap impiannya untuk membina kereta elektrik tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:05 AM