SUAMI mangsa serah diri kepada polis selepas memotong alat sulit perogol. FOTO Agensi
Agensi

Kiev: Meskipun membela isteri yang sedang dirogol, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara lebih lama berbanding suspek yang menyerang wanita itu.

Suami berusia 27 tahun itu dipenjara lapan tahun kerana memotong alat sulit Dmitry Ivchenko, 25, yang mencekik dan merogol isterinya selepas mereka pulang berasingan dari makan malam bersama rakan-rakan, minggu lalu.

Ivchenko cuma dipenjara lima tahun bagi tuduhan terhadapnya.

Menurut Daily Mail, wanita terbabit berjalan pulang pada jam 1 pagi, Ahad lalu, apabila diserang Ivchenko ketika menghampiri apartmennya. Suspek mengheretnya ke dalam semak sebelum merogolnya.

Suami mangsa yang meninggalkan restoran 10 minit selepas isterinya, terdengar bunyi dari semak dan terkejut apabila mendapati Ivchenko sedang mencekik leher isterinya sambil merogol wanita itu lalu menyerang suspek.

Ivchenko masih dirawat di hospital dan doktor belum mengesahkan sekiranya pembedahan menyambung semula alat sulitnya berjaya.

Peguam suami mangsa, Dmitry Spaskin berkata, lelaki itu kemudian berjalan 13 kilometer ke sebuah perkampungan dan meminta seorang penduduk membawanya ke balai polis untuk menyerah diri,

Sementara itu, pendakwa raya Tetiana Vasileva berkata, suspek baru putus cinta dengan kekasihnya dan mabuk pada hari kejadian akibat minum satu liter vodka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:11 AM