RAKAMAN video curi menunjukkan kuda dipukul dan didera sebelum disembelih. FOTO Agensi
AFP

SYDNEY: Persoalan ke mana perginya kuda lumba berharga ratusan ribu ringgit selepas tidak lagi mampu berlumba terjawab apabila siasatan badan penyiaran Australia mendapati ribuan haiwan terbabit disembelih dijadikan makanan manusia atau haiwan.

Siasatan wartawan Australian Broadcasting Corporation yang menyamar selama dua tahun mendapati kira-kira 8,500 kuda bersara daripada perlumbaan setiap tahun.

Industri itu menegaskan tidak sampai satu peratus disembelih dengan ada negeri termasuk New South Wales mewajibkan kuda terbabit di hantar ke tempat lain.

Menyembelih kuda lumba tidak menjadi kesalahan di Australia.

Menurut profesor kelakuan dan kebajikan haiwan di Universiti Sydney, Paul McGreevy, yang mengkaji industri itu sejak 25 tahun lalu berkata, kira-kira 4,000 kuda lumba ‘hilang’ setiap tahun.

Satu pertubuhan kebajikan kuda lumba mendakwa sebuah pusat penyembelihan di Brisbane menyembelih 500 kuda sebulan untuk makanan manusia.

ABC menyiarkan rakaman video curi menunjukkan kuda dipukul dan didera sebelum disembelih.

Daging haiwan itu dieksport ke Eropah, Jepun dan Russia.

Berikutan pendedahan itu, Menteri Lumba Kuda Queensland, Stirling Hinchliffe berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai melakukan siasatan di pusat penyembelihan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perlumbaan Victoria, Giles Thompson, turut mengecam kekejaman terhadap kuda lumba terbabit manakala Lee Freedman, jurulatih juara equestrian lima kali Piala Melbourne meluah kemarahannya melalui Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:27 AM