GAMBAR dirakam 17 Oktober 2019 menunjukkan penduduk Syria beramai-ramai meninggalkan bandar Tal Abyad. FOTO AFP
AFP

ANKARA: Turki bersetuju menghentikan sementara operasi ketenteraannya di utara Syria selama lima hari bagi memberi peluang kepada kumpulan bersenjata Kurdish berundur keluar dari zon selamat sepanjang sempadannya.

Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence yang bertemu Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara semalam, mengumumkan jika syarat itu dipenuhi, Turki akan menghentikan terus serangan.

Persetujuan gencatan senjata 120 jam itu memberi kelegaan terhadap ketegangan antara Amerika dan Turki berikutan operasi ketenteraan terbabit.

Berdasarkan syarat persetujuan itu, tentera Kurdish akan berundur keluar dari zon selamat selebar 32 kilometer sepanjang sempadan Turki.

Pence berkata, operasi ketenteraan Turki akan berhenti sepenuhnya sebaik semua anggota Tentera Demoktatik Syria (SDF) yang diterajui Kurdish berundur sepenuhnya dan selepas itu, Amerika akan menarik balik sekatan terhadap Turki.

Pemerintah SDF, Mazlum Abdi berkata, pihaknya bersedia mematuhi gencatan senjata itu meliputi kawasan dari Ras al-Ain hingga ke Tal Abyad.

Ada lima juta penduduk Kurdish di Iraq, Syria dan Iran manakala SDF memiliki kira-kira 70,000 anggota.

Pertubuhan kebajikan menganggarkan 300,000 menjadi pelarian akibat serangan Turki sejak hampir dua minggu lalu dan hampir 500 terbunuh, termasuk orang awam.

Dalam sidang media di Ankara, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, menegaskan operasi itu hanya digantung, bukan dihentikan.

Ankara menganggap Unit Perlindungan Kurdish (YPG) yang menerajui SDF sebagai pengganas kerana menyokong Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melakukan pemberontakan berdarah di Turki sejak 35 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:31 AM