JOKO Widodo. FOTO Reuters
AFP

JAKARTA: Joko Widodo memulakan penggal keduanya sebagai Presiden Indonesia secara rasmi, hari ini, dalam satu majlis angkat sumpah yang dikawal ketat.

Lebih 30,000 anggota keselamatan ditempatkan di majlis berkenaan susulan ancaman serangan militan, selepas ketua menteri keselamatannya parah ditikam, baru-baru ini.

Naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, turut mengangkat sumpah dalam majlis berkenaan yang menarik kehadiran beberapa pemimpin asing termasuk Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison.

Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi adalah bekas ahli perniagaan sebelum dilantik sebagai presiden pada 2014.

Penggemar muzik ‘heavy metal’ itu bukan berlatarkan politik dan golongan elit tentera, dianggap sebagai Barack Obama Indonesia untuk memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Bagaimanapun, kepimpinan Jokowi menghadapi pelbagai kritikan, dari demonstrasi anti kerajaan dan kebakaran hutan menyebabkan jerebu yang mencetuskan ketegangan diplomatik dengan negara jiran, hinggalah rusuhan di Papua dan isu kemelesetan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 11:36 AM