LAM (tengah) selepas melawat Masjid Kowloon dan pusat Islam di Hong Kong, China. FOTO Agensi
Reuters

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam meminta maaf di atas kejadian polis menembak meriam air ke masjid Kowloon ketika bertempur dengan penunjuk perasaan semalam.

Lam membuat permohonan maaf kepada pemimpin Islam ketika melawat masjid itu pagi ini sebelum berlepas ke Jepun untuk menghadiri upacara pertabalan Maharaja Naruhito di Tokyo.

Ketua Imam, Muhammad Arshad menerima permohonan maaf beliau dan berharap masyarakat Islam dapat hidup dengan damai di Hong Kong.

Dalam kejadian semalam, polis melepaskan meriam air berwarna biru ke arah penunjuk perasaan di Kowloon untuk meleraikan mereka.

Meriam air turut terkena pintu depan masjid dan ketika itu, beberapa orang termasuk wartawan berkumpul di hadapannya.

Jalan raya di hadapan masjid masih dipenuhi kesan berwarna biru ketika umat Islam menunaikan solat pada hari ini.

Polis dalam satu kenyataan berkata, masjid itu secara tidak sengaja disembur meriam air dan akan berusaha untuk melindungi semua tempat ibadat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 2:22 PM