FOTO HIASAN
AFP

ANKARA: Mahkamah Turki hari ini menjatuhi hukuman mati kepada seorang lelaki yang disabitkan membunuh seorang wanita di hadapan anak perempuannya berusia 10 tahun dalam kes berprofil tinggi, lapor media rasmi.

Pembunuhan Emine Bulut, 38, pada Ogos lalu terbongkar selepas rakaman video saat dia ditikam, tersebar.

Menurut agensi berita Anadolu, bekas suaminya, Fedai Varan, 43, didapati bersalah atas pembunuhan Bulut oleh sebuah mahkamah di Kirikkale.

Bulut yang bercerai dengan Varan empat tahun lalu, ditikam di sebuah restoran di Kirikkale namun disahkan meninggal di hospital.

Video viral itu menunjukkan Bulut yang bermandian darah, menjerit kepada anak perempuannya: “Saya tidak mahu mati.”

Ketika mula-mula ditahan, Varan memberitahu polis dia membunuh Bulut akibat diprovokasi kerana mangsa menghinanya.

Sementara itu, menurut kumpulan hak asasi wanita We Will Stop Femicide, seramai 354 wanita dibunuh dalam masa sembilan bulan pertama pada 2019.

Menurut kumpulan itu, seramai 121 wanita maut pada 2011 manakala 440 pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:11 PM