GAMBAR Hiasan
Agensi

POLYNESIA: Seorang pelancong Perancis cedera parah selepas diserang jerung dalam kejadian yang jarang berlaku di Polynesia, kelmarin.

AFP melaporkan, wanita berusia 35 tahun itu dilaporkan sedang berenang di kepulauan Moorea dalam satu lawatan untuk melihat ikan paus Isnin lalu, apabila ikan jerung spesies ‘whitetip’ menggigit bahagian dada dan lengannya.

“Dia bernasib baik, secara kebetulan dua jururawat berada di lokasi kejadian yang dengan segera memberikan bantuan.

Wanita itu yang kehilangan banyak darah turut putus kedua-dua tangan dalam serangan berkenaan dan dia segera dibawa ke hospital berhampiran,” kata anggota bomba Jean-Jacques Riveta kepada AFP.

Stesen radio tempatan, Radio 1 melaporkan, serangan berkenaan berlaku di hadapan ahli keluarga wanita itu, termasuk anak lelakinya yang berusia enam tahun.

“Mangsa dibawa ke darat pada kadar segera, berhampiran Hotel Intercontinental di Moorea dan diberi rawatan awal oleh pasukan paramedik,” kata stesen itu.

Seorang saksi memberitahu, melihat wanita berkenaan dengan sebelah tangan terkulai dan mencetuskan keadaan panik kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:22 AM