AFP

SANTIAGO: Lebih sejuta penduduk membuat bantahan besar-besaran di Chile hari ini mendesak Presiden Sebastian Pinera letak jawatan serta menuntut pembaharuan ekonomi.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera pribumi dan kebangsaan menyanyi lagu tentangan popular ketika pentadbiran diktator Augusto Pinochet pada 1973 hingga 1990.

Pada era itu, Chile dipandang sebagai negara paling stabil di Amerika Latin, namun kini bergelut dengan keganasan paling teruk dalam masa beberapa dekad.

Gabenor Santiago, Karla Rubilar menggambarkan bantahan itu sebagai hari bersejarah di Twitter dan memuji perarakan aman yang mewakili impian rakyat untuk negara baru.

Rubilar berkata, lebih sejuta mengadakan bantahan di Chile, sementara dewan bandar raya Santiago jumlah penduduk berarak di ibu kota negara itu seramai 820,000.

Sejak minggu lalu, penduduk Chile meluahkan kemarahan dengan mengadakan bantahan terhadap struktur sosio-ekonomi dan kebanyakan mereka rasa dipinggirkan kerana bayaran gaji serta pencen rendah.

Mereka turut tidak berpuas hati terhadap penjagaan kesihatan dan pendidikan mahal serta berlaku jurang besar antara kaya dan miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 2:45 PM
SEORANG penujuk perasaan mengibarkan bendera Chile. FOTO Reuters