GAMBAR X-ray menunjukkan bebola magnet yang berkumpul di pundi kencing lelaki itu. FOTO AGENSI
Agensi

Beijing: Seorang lelaki terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas memasukkan 28 bebola magnet ke dalam kemaluannya hingga tersangkut di pundi kencing.

Mail Online melaporkan, lelaki 58 tahun itu memberitahu doktor tidak ingat bila dia memasukkan bebola berkenaan dan mendakwa ia berlaku ketika dia bermimpi.

Menurut media China, lelaki berasal dari bandar Xi’an dipercayai memasukkan bebola magnet itu ke dalam kemaluannya pada Sabtu lalu.

Pada mulanya dia enggan mendapatkan bantuan tetapi selepas beberapa hari bebola itu tidak keluar dan dia mengalami masalah untuk kencing.

“Apabila keadaan bertambah teruk dan dia tidak boleh kencing, pesakit ini terus datang ke hospital,” kata Dr Yin Chuanmin dari Hospital Daxing di Xi’an.

Dr Yin berkata, pada mulanya pesakit itu memberitahu dia hanya memasukkan satu bebola magnet tetapi selepas membuat imbasan X-ray, doktor melihat satu rantai objek berkenaan.

Doktor kemudian membuat satu prosedur untuk menarik semua bebola magnet itu dari pundi kencing lelaki berkenaan.

Pesakit itu dilaporkan berada dalam keadaan baik dan Dr Yin memberitahu, dia mungkin berisiko mengalami jangkitan kuman sekiranya bebola magnet itu lambat dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 8:52 AM