BOHDAN berbincang mengenai harga dan perkhidmatan seks di laman web Bukvy. FOTO/AGENSI
Agensi

Kiev: Seorang ahli Parlimen terbongkar bersembang dengan wanita dipercayai pelacur ketika dewan bersidang, malah perbuatannya itu dirakam wartawan yang sempat mengambil gambar menunjukkan perbualan pada skrin telefon bimbit berkenaan.

Bohdan Yaremenko, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak dilihat berbincang mengenai harga dan perkhidmatan seks di laman web Bukvy oleh seorang wartawan, selain turut dilihat melayari aplikasi Tinder, lapor BBC.

Ahli politik itu yang juga ketua Jawatankuasa Perhubungan Awam pada mulanya mempertahankan perbuatannya di Facebook.

Malah, dia memberikan alasan kononnya mengada-adakan perbualan itu untuk memprovokasi wartawan yang menyaksikan persidangan, lapor portal Kyiev Post.

Bagaimanapun, dia kemudian memadamkan kenyataan itu selain memohon maaf ‘kepada semua orang yang terkesan akibat perbuatan saya, termasuk isteri, anak-anak serta parti dan presiden.’

Perbuatan wartawan mendedahkan sembang peribadi ahli politik ketika sesi Parlimen bukan sesuatu yang asing di Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 1:13 AM