PUANG LALANG
Agensi

MAKASSAR: Seorang pemimpin tarekat di Sulawesi, Indonesia, yang ditangkap kerana menyebarkan ajaran sesat, bukan saja mengaku nabi, malah menjual tiket ke syurga dengan harga semurah RM3 kepada pengikutnya.

Menurut laporan Tribun News, Puang Lalang atau dikenali sebagai Syekh Yusuf yang memimpin kumpulan tarekat Tajul Khalwatiyah Syekh Yusuf, ditangkap di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan, baru-baru ini.

Jurucakap polis Gowa, Shinto Silitonga berkata, mereka yang mahu menyertai kumpulan itu perlu membeli tiket ke syurga dengan bayaran antara Rp10,000 (RM3) dan Rp50,000 (RM15) selain perlu menyumbang zakat kepada lelaki itu.


“Ajaran itu tersebar hampir ke seluruh Indonesia hingga ke luar negara, secara tepatnya Malaysia.

“Mereka yang membeli tiket syurga ini dijanjikan keselamatan di dunia dan akhirat,” katanya.

Lelaki itu turut mewajibkan pengikutnya melakukan bai’ah dan mendoktrin mereka supaya setia dengan ajarannya.

Puang kini berdepan beberapa tuduhan jenayah, termasuk menghina agama, menipu, mengubah hukum nikah, talak dan rujuk serta pengubahan wang haram.

Majlis Ulama Indonesia di Gowa turut menyerahkan 21 bahan bukti yang dirampas daripada pengikut tarekat itu kepada polis, antaranya ratusan tiket ke syurga, kad pelaris, wang tunai, keris, buku serta risalah ilmu kebal dan kekayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 11:34 AM