GAMBAR hiasan.
AFP

BEIJING: Kerajaan China mengenakan had masa yang boleh dihabiskan kanak-kanak negara itu bermain permainan dalam talian, antara tindakan keras kerajaan menangani ketagihan permainan golongan bawah umur.

AFP melaporkan, peraturan baharu itu menetapkan kanak-kanak bawah 18 tahun tidak boleh bermain permainan dalam talian antara jam 10 malam hingga 8 pagi dan hanya diperuntukkan 90 minit pada waktu siang.

Selain itu, garis panduan berkenaan turut mengehadkan jumlah wang yang dihabiskan kanak-kanak dalam talian kepada 200 RMB (RM118) sebulan atau sehingga 400 RMB (RM236) bagi remaja berusia antara 16 dan 18 tahun.

Peraturan baru itu juga mewajibkan pemain mendaftarkan nama sebenar, selain menyertakan butiran tambahan seperti akaun WeChat, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

Menerusi kenyataan kelmarin, kerajaan turut menyeru pengeluar permainan mengubah suai kandungan, fungsi atau peraturan permainan bagi mengelak ketagihan golongan muda.

China pasaran permainan video terbesar di dunia, namun kerajaan mengambil langkah memperketatkan industri itu susulan peningkatan ketagihan permainan dalam talian dan masalah kesihatan termasuk rabun dalam kalangan kanak-kanak.

Peraturan baru itu juga antara isu hangat yang dibincangkan di platform media sosial Weibo hari ini, dengan 210 juta ‘view.’

“Kenyataan itu bermaksud remaja tidak boleh bermain permainan dalam talian kerana kebanyakan golongan itu memang pergi ke sekolah dari jam 6.30 pagi sebelum menamatkan hari mereka pada 10 malam,” kata seorang pengguna.

Seorang yang lain menganggap ia sekadar pendekatan mudah sebaliknya lebih baik kerajaan memperkenalkan sistem penarafan permainan.

Tidak kurang juga yang menganggap terlalu mudah bagi sesiapa mendapatkan nombor pengenalan diri palsu dalam talian yang diwujudkan semata-mata untuk membuat akaun bagi tujuan itu.

Sementara itu, portal berita abc.net.au melaporkan syarikat permainan dalam talian yang gagal mematuhi peraturan itu berdepan kemungkinan dibatalkan lesen.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada April lalu secara rasmi mengkelaskan ketagihan permainan video sebagai satu gangguan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:27 AM