PENUMPANG panik melihat polis bersenjata menyerbu lapangan terbang itu. - Agensi
Agensi

AMSTERDAM: Kesilapan juruterbang yang tertekan butang kecemasan ketika mengajar seorang pelatih kelmarin mencetuskan serbuan polis bersenjata dan panik dalam kalangan pengunjung lapangan terbang Schiphol kerana menyangka ada serangan pengganas.

Anggota polis lengkap bersenjata dilihat berlari serta membuat kepungan di dalam lapangan terbang termasuk di landasan, menyebabkan penumpang ketakutan dan ada yang menjerit.

Malah khabar angin turut tersebar di Twitter bahawa sekumpulan lelaki bersenjata cuba merampas sebuah pesawat yang berlepas dari lapangan terbang berkenaan.

De Telegraaf memetik sumber berkata, kapten terbabit melaporkan rampasan pesawat, namun perkara itu tidak disahkan pihak berkuasa.

Tidak lama selepas itu, syarikat Air Europa mengeluarkan satu kenyataan bahawa berlakunya kesilapan dan amaran itu diaktifkan secara tidak sengaja.


PASUKAN keselamatan di landasan kapal terbang. - Agensi

Menurut De Telegraaf, kod amaran mengenai rampasan pesawat mungkin ditekan juruterbang yang cuba mengajar pelatih bagaimana menggunakan alat transponder.

Juruterbang boleh menghantar isyarat melalui transponder jika berlakunya kecemasan seperti rampasan pesawat, terputus komunikasi atau masalah lain.

“Pada tengah hari ini, secara tidak sengaja satu amaran diaktifkan dan mencetuskan tindak balas protokol situasi tebusan lapangan terbang.

“Tiada apa yang berlaku dan semua penumpang selamat serta bersedia untuk berlepas tidak lama lagi. Kami memohon maaf,” kata kenyataan itu.

Seorang penumpang memberitahu Mail Online, tiada siapa tahu apa yang berlaku, malah ramai orang menjerit selepas melihat polis bersenjata, berlari dan menutup beberapa kawasan.

“Ia pengalaman menakutkan kerana kami dikepung polis bersenjata dan tidak boleh ke mana-mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:33 AM