GAMBAR HIASAN
AFP

KUWAIT CITY: Ratusan pekerja di lapangan terbang antarabangsa Kuwait mengadakan mogok selama sejam hari ini bagi menuntut keadaan kerja yang lebih baik malah mengancam akan meneruskannya untuk beberapa hari.

Wakil kesatuan, Ahmed Mohammed al-Kandari, berkata pekerja meminta rawatan lebih baik dan pampasan diberi kerana terdedah dengan pencemaran dan bunyi bising.

“Pekerja Kuwait akan mengadakan mogok selama dua jam pada Rabu ini dan 24 jam pada Ahad ini jika tuntutan tidak dipenuhi,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, mogok oleh kakitangan Kuwait itu tidak menjejaskan penerbangan.

Hak untuk mengadakan mogok dibenarkan untuk warganegara di Kuwait, tetapi tindakan sedemikian jarang berlaku di negara Teluk manakala pekerja asing tidak mempunyai hak untuk mogok.

“Trafik lapangan terbang dalam keadaan normal,” kata ketua Pengarah Am Penerbangan Awam, Sheikh Salman Al-Hamoud Al-Sabah.

Pengarah operasi lapangan terbang, Saleh Al-Fadaghi turut berkata penerbangan tidak terjejas.

“Walaupun mogok berlangsung selama sejam, 19 penerbangan dikendalikan menurut jadual dengan lima pelepasan dan 14 ketibaan,” katanya kepada AFP.

Daripada 4,500 pekerja penerbangan awam, hanya 1,500 mengambil bahagian dalam mogok yang dilancarkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:10 PM