KEDAI Primark di Kingston, London.
Agensi

LONDON: Seorang pengawal keselamatan didapati bersalah merogol dan mendera empat remaja perempuan secara seksual selepas mereka ditangkap mencuri di kedai Primark di Kingston, London.

Zia Uddin, 27, yang bekerja dengan Brooknight Security, didakwa memaksa semua remaja berusia 15 tahun itu melakukan aksi lucah sebagai balasan untuk tidak melaporkan perbuatan mereka cuba melakukan kecurian di premis itu kepada keluarga, lapor Daily Mail.

Menurut laporan, dia mengancam remaja terbabit dengan hukuman penjara sekiranya kes itu dilaporkan kepada polis.

Mahkamah menetapkan 19 November ini untuk hukumannya.

Perbuatannya terbongkar selepas rakan sekerja menyedari dia gagal menyiapkan laporan kecurian selain meminta rakaman kamera litar keselamatan tertutup dipadamkan.

Mangsa yang ditangkap menawarkan wang untuk membayar harga barangan diambil atau bekerja di kedai itu sebagai bayaran, sebaliknya tertuduh menegaskan mahu mereka melakukan aksi lucah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:26 AM