SEBANYAK 25 kubur ditemui berlubang di TPU Desa Pakemitan, Cikatomas, Tasikmalaya. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Sebanyak 25 kubur ditemui berlubang pada bahagian kepala dalam kejadian yang dipercayai ada kaitan dengan amalan sihir.

Kompas.com melaporkan, lubang pada kubur berkenaan selebar 10 sentimeter dengan kedalaman 50 sentimeter, disedari penduduk tempatan yang menziarahi Tanah Perkuburan Umum di Pakemitan, Tasikmalaya, Jawa Barat.

Jurucakap polis, Sarjan Pertama Dwi Bakti berkata, kejadian membabitkan kubur lama dan dipercayai digali individu tidak bertanggungjawab untuk mengambil tanah di bawah batu nisan.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua kubur berkenaan mendapati tiada jenazah hilang,” katanya.

SALAH satu kubur yang digali individu tidak bertanggungjawab. FOTO Agensi

Tribunnews memetik penjaga kubur, Anda Juanda berkata, dia membuat pemeriksaan selepas orang ramai mengadu kejadian kepadanya.

“Hasil aduan orang ramai, saya memeriksa semua kubur dan menemui 25 yang berlubang. Saya mengesyaki tanah di bawah batu nisan dikeluarkan selepas kubur digali dan dipecahkan secara rambang,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu apabila lima kubur pernah dilaporkan turut dikorek beberapa minggu sebelumnya di Pakemitan yang dilakukan pada malam Jumaat.

Media melaporkan, kecurian tanah kubur itu disyaki mempunyai kaitan dengan ilmu sihir namun polis masih menyiasat motif sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:21 AM