ALEXEY mati ditembak oleh Daniil yang berang selepas dihalau keluar oleh pensyarahnya.
Agensi

MOSCOW: Berang dihalau keluar oleh pensyarah, seorang remaja berusia 19 tahun menembak mati rakannya sebelum membunuh diri dalam kejadian amuk di sebuah kolej di Blagoveshchensk, Russia hari ini.

Daily Mail melaporkan, Daniil Zasorin diarahkan keluar kerana berkelakuan buruk sebelum melepaskan tembakan di dalam bilik kuliah hingga menyebabkan rakannya, Alexey Golubnichy, 19, mati manakala tiga lagi cedera.

Dalam kejadian itu, polis yang terdengar bunyi tembakan terus bergegas ke tempat kejadian dan menembak penyerang sebelum dia membunuh diri.

Media tempatan yang memetik beberapa saksi berkata, remaja terbabit yang dihalau keluar sebanyak dua kali oleh pensyarahnya, kembali semula sambil membawa sepucuk senapang patah.

Polis turut menemui beg berisi peluru yang disembunyikan di dalam tandas kolej berkenaan.

“Penyerang ini membunuh diri dengan menggunakan senjatanya sendiri. Ia didaftarkan atas namanya,” kata jurucakap kementerian dalam negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:00 PM