KEADAAN ‘camper’ van magsa yang remuk dihempap zirafah.
Agensi

CAPE TOWN: Seorang pelancong dari Switzerland berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh seekor zirafah dalam satu kemalangan di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.

The Telegraph melaporkan, haiwan seberat 750 kilogram (kg) itu dilaporkan merempuh bahagian hadapan sebuah van sehingga tercampak ke laluan bertentangan dan menghempap bumbung sebuah ‘camper’ van yang membawa mangsa.

Mangsa dilaporkan cedera parah dan diangkut melalui udara untuk menerima rawatan pasukan penyelamat. Dia masih bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di Johannesburg.

Isterinya yang turut berada dalam kenderaan sama mengalami luka ringan begitu juga dua penumpang di dalam camper van itu.

Bagaimanapun, zirafah dengan ketinggian sekitar lima meter itu mati akibat impak berulang.

Polis Afrika Selatan mendakwa punca kemalangan masih disiasat terutama, bagaimana van berkenaan yang membawa 13 penumpang ke Letaba Rest Camp merempuh haiwan berkenaan.

Jurucakap taman negara, Ike Phaala, berkata zirafah itu dirempuh dengan kuat sehingga rebah di atas kenderaan pelancong yang datang dari arah bertentangan, dipandu sepasang suami isteri dari Switzerland.

“Kami enggan membuat spekulasi. Peringatan sudah diberi kepada semua pelancong, ini adalah taman hidupan liar dan haiwan di sini mempunyai hak di atas jalan dan muncul secara tiba-tiba,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:18 PM