ANTARA mangsa yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di Baghdad.
AFP

BAGHDAD: Empat penunjuk perasaan terbunuh di Baghdad semalam, akibat bedilan gas pemedih mata ketika pasukan keselamatan cuba menyuraikan orang ramai.

Terdapat kritikan antarabangsa mengenai tindak balas pihak berkuasa ke atas protes berkenaan, yang merekodkan lebih 330 kematian sejak 1 Oktober lalu.

Menurut sumber perubatan, kejadian berlaku awal pagi tadi menyaksikan empat penunjuk perasaan maut akibat gas pemedih mata berhampiran lokasi utama penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini.

Orang ramai di Dataran Tahrir dipenuhi pelajar dan guru yang menyertai mogok itu dalam beberapa hari lalu.

Menurut laporan Amnesty International, mangsa yang terkena bedilan gas pemedih itu mengalami kecederaan teruk malah tabung gas ada yang terbenam di kepala mereka.

Pasukan keselamatan didakwa banyak bergantung penggunaan gas pemedih mata untuk mengawal penunjuk perasaan di Tahrir, malah kumpulan hak asasi manusia mendakwa tentera dengan sengaja menembaknya ke arah kumpulan penunjuk perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 11:37 PM