JENAZAH lapan sekeluarga yang maut akibat dibom Israel dikumpulkan sebelum disembahyangkan semalam. FOTO Agensi
Agensi

GAZA: Selepas 48 jam Israel melancarkan puluhan serangan udara membunuh 34 penduduk Palestin dan Islamic Jihad membedil lebih 300 roket ke selatan Israel, kedua-dua pihak mencapai persetujuan menamatkan keganasan di Gaza hasil usaha damai tajaan Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Menurut Islamic Jihad gencatan senjata berkuat kuasa mulai 5.30 pagi waktu tempatan, 48 jam selepas Israel mencetuskan pertempuran dengan membunuh komander tentera kumpulan kedua terbesar di Gaza itu melalui serangan udara.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza menyatakan 34 penduduk Palestin, lebih separuh orang awam, termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terkorban akibat serangan Israel.

Islamic Jihad dilapor membedil sehingga 350 roket ke Israel, melumpuhkan wilayah selatan menyebabkan puluhan cedera.

Antara yang terbunuh ialah lapan sekeluarga, termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita selepas rumah mereka di Deir al-Balah musnah dibom pesawat Israel beberapa jam sebelum gencatan senjata dipersetujui.

Palestin menegaskan mereka yang terbunuh itu adalah orang awam walaupun Israel mendakwa ketua keluarga, Rasmi Abu Malhous, yang turut terbunuh ialah pegawai kanan unit roket Islamic Jihad.

Hamas, pertubuhan terbesar Palestin di Gaza tidak campur tangan dalam konflik itu yang mungkin menjadi faktor memudahkan ketegangan mengendur.

Menurut Islamic Jihad, gencatan senjata itu dicapai selepas Israel bersetuju dengan tuntutan rejim Zionis menghentikan pembunuhan militan serta tembakan membawa maut ketika protes mingguan di sempadan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:12 AM