TEMPAT kejadian lima sekeluarga mati ditembak dalam pergaduhan rumah tangga.
Reuters

SAN DIEGO: Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak mati manakala seorang lagi cedera dalam pergaduhan rumah tangga yang membawa kepada kejadian tembakan, semalam.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian berlaku di sebuah rumah di kawasan kejiranan Paradise Hills, tenggara San Diego, menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun bersama ibu dan bapanya, awal pagi semalam.

Ketua Polis San Diego, David Nisleit, berkata polis turut menemui tiga lagi kanak-kanak lelaki berusia 5, 9 dan 11 tahun yang cedera parah dan dibawa ke sebuah hospital.

“Dua daripadanya meninggal dunia ketika sedang dirawat. Ketika pegawai tiba di tempat kejadian, mereka ternampak seorang anak kecil terbaring berlumuran darah,” katanya.

Leftenan Matt Dobbs dari Jabatan Polis San Diego berkata kanak-kanak lelaki yang terselamat perlu menjalani pembedahan kecemasan selepas dibawa ke hospital.

“Selepas ibu kesemua mangsa mendapat perintah larangan ke atas suaminya kelmarin, pasangan itu terbabit dalam pertengkaran awal pagi semalam.

“Selepas menembak ahli keluarganya, lelaki itu membunuh dirinya menggunakan pistol yang sama,” kata Dobbs.

Polis tidak mendedahkan nama dan identiti kesemua mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:58 AM