SEMBILAN orang cedera dalam kejadian di lombong milik syarikat Shangxi Pingyao Fengyan Coal dan Coke Group Co. FOTO REUTERS
AFP

BEIJING: Seramai 15 orang terbunuh dalam letupan gas di sebuah lombong arang di wilayah Shanxi, utara China tengahari semalam.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, sembilan orang cedera dalam kejadian di lombong milik syarikat Shangxi Pingyao Fengyan Coal dan Coke Group Co.

Ketika kejadian, seramai 35 pelombong bekerja di bawah tanah dan 11 daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Mangsa cedera dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihak berkuasa masih menyiasat punca letupan.

Kemalangan yang meragut nyawa kerap berlaku di lombong China disebabkan tahap keselamatan rendah.

Dalam mesyuarat minggu lalu, kabinet China mengarahkan pemeriksaan tegas terhadap isu keselamatan pekerja dalam industri pengeluaran.

Pada Disember lalu, tujuh pekerja terbunuh di Chongqing selepas dinding lombong runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 10:59 AM