ANGGOTA keselamatan Chile membelasah penunjuk perasaan di Santiago. FOTO Reuters
AFP

SANTIAGO: Buat pertama kali kerajaan Chile mengakui keganasan dilakukan polis ketika menangani bantahan antikerajaan sejak empat minggu lalu, dengan Presiden Sebastian Pinera berkata, ‘tiada ampun’ ketika mengecam pasukan keselamatan semalam.

“Berlaku kekerasan berlebihan, salah guna kuasa dan jenayah dilakukan. Hak asasi semua pihak tidak dihormati,” katanya dalam ucapan melalui televisyen sempena sebulan bantahan yang sudah mengorbankan 22 orang manakala 2,000 lagi cedera.

Lebih 200 penunjuk perasaan mengalami kecederaan mata dengan sebahagiannya buta sebelah mata akibat ditembak anggota keselamatan.

Pejabat pendakwa raya menyiasat lebih 1,000 kes keganasan polis, termasuk menyeksa dan keganasan seksual meliputi rogol oleh polis dan tentera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amnesty International sudah menghantar pasukan untuk menyiasat pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan.

“Meskipun kita berusaha keras dan langkah berjaga-jaga melindungi hak manusia, banyak kes protokol diketepikan, berlaku kekerasan melampau, salah guna kuasa dan jenayah dilakukan.

“Tidak akan ada tolak ansur dan ampun,” kata Pinera.

Sebelum ini, Pinera berkata, kerajaan ‘tiada apa untuk menyembunyikan’ dakwaan pasukan keselamatan menyeksa penunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan selama sebulan itu melumpuhkan ibu negara Chile, Santiago, dan kerajaan Pinera menjanjikan banyak perubahan bagi memenuhi tuntutan rakyat, termasuk menaikkan gaji minimum serta bayaran pencen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:49 AM